Mahkamah

SPRM siasat Menteri Besar didakwa terlibat kes curi nadir bumi

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor membuka kertas siasatan berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa melibatkan seorang menteri besar dalam isu perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Menurut sumber, aktiviti perlombongan itu dipercayai dilakukan secara tidak sah sekaligus menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.

Tambahnya, isu perlombongan haram dan kerugian hasil bumi itu telah diadukan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gerakan Anti-Sanusi (GAS) pada Mac lalu.

“Difahamkan daripada penduduk di kawasan Bukit Enggang Sik, Kedah bahawa kerja-kerja perlombongan haram itu telah dibuat secara besar-besaran sebelum ditumpaskan oleh pihak berkuasa.

“Pada Januari lalu, UMNO Kedah juga pernah mengesa SPRM untuk menyiasat dan mendedahkan hasil siasatan sama ada terdapat campur tangan politik dalam isu kecurian REE yang mendatangkan kerugian besar kepada negara,” katanya pada Selasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dipetik laporan Berita Harian mengesahkan beberapa kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, antara yang dibuka termasuklah kertas siasatan SPRM Kedah pada Mac 2023.

Namun beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya adakah SPRM akan memanggil Menteri Besar terbabit dalam masa terdekat.

Related Articles

Back to top button