TPM gesa rakyat hidupkan semangat perpaduan, perbaharui niat
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa umat Islam dan rakyat Malaysia secara amnya menjadikan sambutan Maal Hijrah sebagai momentum menghidupkan semangat perpaduan.
Menurut Zahid,sambutan tahun baharu kalendar Islam itu juga perlu dijadikan sebagai medan membangunkan komuniti harmoni, saling mendukung antara satu sama lain, memupuk rasa persaudaraan dan bekerjasama dalam membina sebuah negara bangsa yang berjaya.
Untuk itu jelasnya, umat Islam perlu bermuhasabah serta memperbaharui azam dan iltizam untuk meletakkan diri sebagai insan muttaqin.
“Ambillah ibrah peristiwa hijrah baginda Nabi Muhammad SAW untuk kita memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan melakar masa depan yang lebih cemerlang.
“Marilah kita berdoa agar Malaysia sentiasa dilindungi rahmat Allah SWT, beroleh keberkahan dan menjadi negara ‘baldatun toyyibah warabbun ghafur’,” katanya.
Kenyataan itu dimuat naik Presiden Umno itu menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Sementara itu Datuk Seri Fadillah Yusof pula turut mengajak umat Islam di negara ini menggunakan kesempatan itu untuk bermuhasabah diri, tajdid (memperbaharui) niat serta menguatkan azam dan semangat untuk sentiasa berusaha menjadi insan yang lebih baik.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata sambutan Awal Muharram menjadi detik yang sangat penting khususnya untuk umat Islam terus memaknai kehidupan dan amal ibadah.
“Bersempena dengan Maal Hijrah ini, umat Islam digalakkan untuk membaca doa akhir dan awal tahun. Bersama-samalah kita mengambil sedikit waktu untuk bermuhasabah, menilai semula niat dan tujuan hidup kita serta terus memperbaiki amalan dan usaha kita di dunia untuk kebaikan di akhirat kelak.” katanya.