Semasa

Jualan Rahmah Bergerak inisiatif pastikan subsidi sampai secara bersasar – Fuziah Salleh

Pelaksanaan Jualan Rahmah Bergerak menerusi pendekatan ‘Kedai Cari Rakyat’ dijangka akan dapat membantu rakyat dengan cara lebih bersasar.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh ketika mengulas inisiatif terbaharu oleh Kementerian menerusi pendekatan itu Jualan Rahmah Bergerak akan dibuat di lokasi yang majoritinya terdiri daripada penduduk dalam kategori B40.

“Pelaksanaan Kedai Cari Rakyat ini bertujuan membantu penduduk dengan cara bersasar, rakyat tak perlu ke kedai dan kita akan adakan di tempat yang ada golongan B40, yang ada rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), yang ada rumah kos rendah.

“Ini bagi memastikan subsidi yang disediakan untuk rakyat sampai kepada golongan sasar,” jelasnya selepas merasmikan Jualan Rahmah Bergerak peringkat Kedah di Taman Ria Jaya di Sungai Petani.

Fuziah juga memaklumkan pihaknya mensasarkan untuk mengadakan dua kali jualan dalan tempoh sebulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di seluruh negara.

Jualan Rahmah Bergerak menawarkan barang-barang keperluan termasuk telur, minyak masak, tepung, gula, bawang, milo, ikan bilis dan beras dengan harga yang ditawarkan adalah sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran

Sementara itu jelas Fauziah, 99 peratus daripada peruntukkan RM1 juta bagi program tersebut telah dibelanjakan untuk memberikan subsidi kepada rakyat.

Sehingga hujung bulan lalu, 1.1 juta rakyat telah mendapat manfaat daripada Jualan Rahmah Bergerak dengan nilai jualan melebihi RM30 juta.

“Setakat ini program jualan seperti ini aktif di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Pulau Pinang… malah kita sasarkan ia juga berjalan lancar di Kedah,” katanya.

Related Articles

Back to top button