Politik

Keputusan Muda bertanding solo merugikan

Keputusan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertanding solo dalam PRN hanya akan merugikan semua pihak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata muda seharusnya bersama Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Tambah bekas Menteri Besar itu, tindakan parti itu untuk tidak bersama Kerajaan Perpaduan merugikan negara apabila suara anak muda tidak dapat dibawa untuk dijadikan sebagai antara polisi kerajaan.

“Dalam soal ini kita perlu lihat adakah Muda benar-benar mahu bertanding (PRN) atau mencari publisiti, ataupun cubaan meraih simpati kononnya suara orang muda dipinggirkan.

“Mungkin pilihan dibuat ini kerana Muda tidak berpuas hati tiada dalam kabinet dan seolah-olah ada agenda termasuk desakan pihak tertentu. Jika benar, amat malang sekali.

“Sementara ada masa, saya nasihatkan MUDA kembali ke ‘pangkal jalan’ iaitu bekerjasama dengan Kerajaan Madani Barisan Nasional (BN) dan PH,” katanya.

Ahmad Razif berkata begitu ketika ditemui selepas Program Semarak Siswa Madani Saringan Kesihatan Percuma Bersama Masyarakat di pekarangan Pejabat DUN Seberang Takir semalam.

Muda sebelum ini mengesahkan akan bertanding secara solo dalam PRN di enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah.

Parti itu turut telah mengumumkan beberapa nama untuk bertanding pada PRN kali ini.

Related Articles

Back to top button