KKR segerakan kerja atasi banjir LPT1
Kementerian Kerja Raya (KKR) mensasarkan 10 lokasi kerapa berlaku banjir di Lebuh Raya Fasa 1 (LPT1) dapat diselesaikan pada kadar segera.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, lokasi terbabit adalah di kilometer (KM) 84.7, KM 112, KM 113, KM 114, KM 115, KM 116, KM 117, KM 124, KM 126 dan KM 198.
Empat lagi lokasi dikenal pasti berisiko dinaiki air iaitu di KM 156, KM 178, KM242 dan di Ramp A, Persimpangan Jabor.
“Sebanyak empat kejadian banjir berlaku di sepanjang LPT1 sejak ia dibuka iaitu pada 2007, 2014 dan dua kejadian kali pada 2021.
“Banjir 2021 pada bulan Januari dan Disember yang menyebabkan lebuhraya ini ditutup kepada semua jenis kenderaan untuk beberapa hari,” katanya.
Beliau ditemuai pemberita selepas meninjau dan melihat perkembangan dua projek tebatan banjir bernilai RM200 juta di KM 117 dan KM 124 di Temerloh pada Rabu.
Mengulas lanjut, Nanta Linggi berkata bagi tujuan itu, kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi dua pakej projek yang dijangka siap pada Oktober 2024 sebelum musim tengkujuh yang lumrahnya melanda Pantai Timur.
Bagi menangani masalah banjir daripada berulang, kerajaan sudah mengarahkan kerja-kerja tebatan banjir segera dilaksanakan di 14 lokasi sepanjang jajaran lebuhraya tersebut.