Umum

Perpaduan aset utama Malaysia Madani – Pemangku Raja Perlis

Perpaduan merupakan aset utama dan yang paling bernilai dalam mencapai Malaysia Madani, titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah tema Maal Hijrah ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’, membawa makna pencapaian kemajuan negara yang holistik dalam aspek kebendaan, pemikiran dan kerohanian.

“Setiap warga negeri ini hendaklah sentiasa berusaha mencapai keharmonian, walaupun wujud kepelbagaian latar belakang.

“Sikap bertoleransi, saling memaafkan dan santun hendaklah dibudayakan,” titah baginda pada Majlis Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis 2023, di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan barisan exco kerajaan negeri.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, rakyat juga diminta agar menjunjung dan berpegang teguh kepada perlembagaan serta undang-undang negara dan juga undang-undang tubuh negeri kerana ia merupakan kunci keadilan dan penyatuan.

“Ini juga merupakan hasrat ulung daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW, iaitu memaknakan negara dengan undang-undang yang adil dan pematuhan terhadapnya.

“Setiap orang hendaklah menyesuaikan diri dengan sekeliling, dalam usaha memberikan sumbangan kepada negeri, negara dan ummah.

“Nikmat hidup itu pada memberi dan sumbangkanlah sesuatu, walaupun kecil ia tetap memberi kesan kepada pertumbuhan dan kemajuan umat seluruhnya,” titah baginda.

Related Articles

Back to top button