Semasa

Jangan fitnah, sentuh isu 3R sepanjang kempen PRN – Sultan Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua calon dan penyokong parti politik supaya menjaga adab sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Titah baginda, kempen pilihan raya bukan lesen untuk mengumpat, menghina dan memfitnah orang lain dengan sebebasnya.

Melalui kenyataan dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini, baginda mengingatkan hukum-hakam Allah tetap berjalan dalam keadaan apa pun dan siksa Allah menanti di akhirat bagi mereka yang mengumpat serta memfitnah.

“Menerusi pemerhatian baginda, perbuatan fitnah dan caci-mencaci ini menjadi lebih ketara dan dilakukan tanpa rasa takut dan malu kepada Allah SWT setiap kali menjelang pilihan raya, seolah-olah musim menjelang pilihan raya adalah pesta yang menghalalkan mencaci maki, mengumpat dan memfitnah antara satu sama lain demi meraih sokongan dan undi dari rakyat,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, baginda Sultan turut berpesan agar isu-isu berkaitan dengan kaum, agama dan institusi diraja tidak dijadikan bahan berkempen.

Ia supaya tiada pertelingkahan dalam kalangan umat Islam selain memastikan hubungan antara kaum dalam negara tidak terjejas.

“Perlembagaan Persekutuan sudah menjamin Islam sebagai agama Persekutuan dan ianya akan tetap terpahat dan tidak boleh digugat oleh mana-mana pihak.

“Raja dan Sultan pula berperanan sebagai Ketua Agama bagi negeri-negeri dan mestilah dihormati dan ditaati sama ada suka atau sebaliknya selagi mereka patuh kepada perintah Allah SWT serta tidak menyuruh melakukan maksiat.

“Sultan adalah payung yang melindungi sekalian rakyat jelata di bawah naungannya,” titah baginda.

Baginda juga mengingatkan undang-undang negara memperuntukkan kesalahan bagi mereka yang melakukan fitnah, penghinaan kepada institusi diraja serta mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini seperti Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Oleh itu, baginda mengingatkan umat Islam agar berhati-hati dalam apa yang diperkatakan dan jangan sampai menjadi bak kata pepatah Melayu, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Sultan Sharafuddin turut menyeru umat Islam di Selangor agar memahami dan menghayati inti pati Khutbah Jumaat bertajuk ‘Dosa Mengumpat dan Mencaci” yang dibacakan khatib di masjid-masjid seluruh negeri ini, hari ini.

Baginda menekankan bahayanya perbuatan mengumpat, mencela, mencaci dan memaki hamun apatah lagi memfitnah yang mana ia tergolong dalam dosa besar yang lebih buruk daripada membunuh.

“Baginda sebelum ini sering menasihati umat Islam agar tidak terjerumus di dalam perbuatan terkutuk dan tercela ini.

“Baginda bimbang jika amalan memfitnah serta caci-mencaci ini tidak dibendung, perpecahan umat Islam khususnya di Selangor ini akan menjadi semakin parah dan tidak terkawal,” menurut kenyataan itu.

Related Articles

Back to top button