KPM tak kompromi tindakan hukum murid hingga mencederakan – Fadhlina
Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana tindakan menghukum murid sehingga mencederakan oleh pihak sekolah.
Pendirian itu dinyatakan menterinya, Fadhlina Sidek susulan dakwaan seorang murid lelaki Tahun Lima di sebuah sekolah di Segamat Johor dirotan guru besar sehingga cedera kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.
Mengulas lanjut Ketua Wanita Parti KEADILAN itu berkata, KPM menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pihak berkuasa dan pada masa sama, sesi intervensi termasuk sokongan psikososial kepada guru dan pelajar terlibat turut dilaksanakan.
“Kes ini kita dah serahkan untuk siasatan, kita kena hormat proses siasatan itu dan semua hasil akan dimaklumkan kembali kepada KPM.
“Saya memberi jaminan siasatan yang dijalankan adalah telus. Kita hendak maju dalam isu pendidikan,” katanya.
Fadhlina sebelumnya dtemui pemberita selepas menghadiri Karnival Mini Pendidikan MADANI Peringkat Negeri Sembilan di Kuala Pilah pada Khamis.
“Semua proses siasatan harus dipatuhi termasuk jika memerlukan keterangan diambil untuk memastikan ia berlangsung dengan baikā¦dan kalau dia (guru besar) kena hadir beri keterangan atau sesi kaunseling, dia kena hadir,” tambahnya.