ekonomi

Penyertaan UK dalam CPTPP beri manfaat kepada eksport Malaysia

Industri minyak sawit Malaysia adalah antara sektor yang akan menerima manfaat daripada penyertaan United Kingdom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), kata penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes dipetik laporan Bernama berkata, Malaysia berjaya memohon Britain mengurangkan tarif minyak sawitnya – yang ketika ini antara 12 peratus sehingga sifar.

Permohonan itu sebaik sahaja Britain menyertai pakatan yang sewajarnya mendorong lebih banyak eksport ke UK.

Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara melebihi US$7.3 bilion (RM33.4 bilion) pada 2022 dengan UK mencatatkan lebihan dagangan kira-kira US$786 juta (RM3.5 bilion).

Lembaga Minyak Sawit Malaysia menjangkakan eksport minyak sawit akan meningkat sebanyak 3.7 peratus kepada 16.3 juta tan pada 2023 berikutan permintaan yang berterusan daripada negara-negara pengimport.

“Komoditi seperti getah (akan menerima manfaat daripada penyertaan UK) dan barangkali peningkatan bagi makanan segar boleh dimakan,” kata Innes sambil memaklumkan UK sedang bergelut dengan pasca Brexit.

“UK bukanlah negara mampu diri dari segi pengeluaran makanan. Negara itu mengimport 48 peratus daripada jumlah makanan yang digunakan dan perkadaran ini meningkat. Oleh itu, sebagai negara perdagangan makanan, UK bergantung kepada import,” tambahnya.

Mengulas isu penyertaan Britain ke CPTPP, Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula menyifatkan hubungan Malaysia-UK adalah menyenangkan dari segi pelaburan.

Projek Battersea Power Station adalah contoh bagaimana kedua-dua negara ini saling membantu dan melengkapi untuk mencipta nilai.

“Banyak rakyat Malaysia yang menerima pendidikan tinggi di UK. Sehubungan itu, CPTPP perlu membantu mempromosikan perdagangan dan pelaburan dua hala berikutan kos menjalankan perniagaan akan menjadi lebih efektif selepas penyertaan UK dalam pakatan itu,” katanya.

UK adalah negara Eropah pertama yang menganggotai blok itu sejak diwujudkan pada 2018. Pakatan itu terdiri daripada negara-negara anggota G7 seperti Kanada dan Jepun, sekutu UK sejak sekian lama seperti Australia dan New Zealand, selain Brunei, Chile, Malaysia, Mexico, Peru, Singapura dan Vietnam.

Related Articles

Back to top button