Semasa

REE: Pendedahan berdasarkan fakta, bukan plot kenakan Sanusi – Menteri KDN

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor perlu tampil menjelaskan isu-isu meragukan berkaitan kecurian unsur nadir bumi (REE) di kawasan Bukit Enggang, Sik, Kedah.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selaku Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, Sanusi seharusnya mengetahui pengoperasian MBI yang dikaitkan dengan kecurian itu.

“Ini soal tanggungjawab dan akauntabiliti. Saya tanya bukan tuduh, saya tunggu jawapan Sanusi. Saya tak akan dedah kalau tidak ada dokumen sahih.

“Apa yang dibangkitkan sebahagian daripada isu pentadbiran, Kita tanya kenapa melombong REE, guna tenaga kerja Cina, kemudiannya terlibat dengan membawa keluar REE tanpa mengikut peraturan. Banyak persoalan belum beliau jawab,” kata Saifuddin.

Tambahnya, antara perkara yang perlu dijelaskan Sanusi adalah mengenai identiti dua warga China yang dibawa masuk menggunakan Pas Lawatan Ikhtisas sebagai pakar profesional bagi mengkaji tapak REE di kawasan berkenaan.

“Salah seorang daripada mereka antara 52 pekerja yang ditahan pada Januari melalui operasi Jabatan Imigresen, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dan Jabatan Mineral dan Galian.

“Seorang lagi tak pasti, mungkin Sanusi lebih tahu di mana dia berada sekarang walaupun saya ada rekod keluar masuk dia. Apakah mereka masuk sebagai ahli geologi untuk menasihati MBI dalam penerokaan REE, adakah mereka berdaftar dengan badan kawal selia bidang tersebut,” soalnya.

Beliau turut menegaskan apa yang didedahkannya sebelum ini berlandaskan fakta dan bukti, bukan sengaja dicipta bagi mewujudkan plot kononnya mahu menjatuhkan Sanusi menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Antara yang didedahkan beliau baru-baru ini adalah Sanusi pernah menulis surat kepada Menteri KDN ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk mohon kemasukan 10 jurutera dan 21 pekerja mahir dari China yang bercanggah daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI yang menyatakan 21 pekerja tersebut sebagai pekerja am.

Tambahnya, sebahagian daripada pekerja itu pula dibawa masuk menggunakan permit pelancongan perubatan bagi mendapatkan rawatan kesihatan dan ia amat meragukan.

Related Articles

Back to top button