hiburan

Aksi biadab The 1975: Menteri arah batal Good Vibes Festival

Kerajaan mengarahkan pembatalan serta-merta baki dua hari Good Vibes Festival 2023 yang sepatutnya berlangsung hari ini dan esok, susulan kontroversi dicetuskan kumpulan The 1975, malam tadi.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata arahan itu dibuat selepas pihaknya berjumpa penganjur iaitu Future Sound Asia.

“Kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara, bagaimanapun jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Susulan pembatalan itu, Fahmi berkata pihaknya meminta penganjur mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli tiket.

Pada masa yang sama, pihak polis akan memanggil penganjur festival tersebut susulan tindakan kumpulan The 1975 yang membuat aksi kurang sopan dalam konsert yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihak penganjur akan dipanggil memberi keterangan berhubung perkara itu petang ini.

“Setakat ini, polis mendapati tiada sebarang laporan diterima berhubung kejadian,” katanya.

Terdahulu dilaporkan persembahan kumpulan dari British itu dihentikan selepas vokalisnya Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.

Penyanyi tersebut didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Related Articles

Back to top button