Semasa

Anwar tuntut Muhyiddin mohon maaf, bayar pampasan RM200 juta

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut pampasan RM200 juta daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memfitnahnya.

Menerusi dokumen balasan terhadap surat tuntutan Muhyiddin, peguam Datuk SN Nair yang mewakili Anwar turut menuntut permohonan maaf daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu di akhbar dan media pilihan anak guamnya berhubung isu pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjumlah RM8.3 bilion.

Selain itu, Ahli Parlimen Tambun ini menuntut Muhyiddin menarik balik surat tuntutan beliau dan kenyataan (yang didakwa) fitnah berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda serta-merta.

“Ia termasuk memadamkan komen yang menyinggung perasaan bersifat fitnah.

“Kami diarahkan oleh anak guam (Anwar) untuk menyatakan bahawa, jika kami tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh surat ini, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan perundangan terhadap Muhyiddin,” kata peguam itu menerusi surat yang dihantar kepada peguam mewakili Muhyiddin pada Jumaat.

Menurut Nair, kandungan surat Muhyiddin mengandungi dakwaan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu telah membuat kenyataan fitnah terhadap Muhyiddin berhubung pelupusan Felda itu ketika berucap pada majlis sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di Serdang pada 7 Julai lepas dan semasa dialog di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 8 Julai lepas.

“Hakikatnya, anak guam kami yang telah melupuskan hutang Felda berjumlah RM8.3 bilion dan bukannya Muhyiddin.

“Ditegaskan oleh anak guam kami bahawa anak guam kamu (Muhyiddin) sememangnya adalah pihak yang tidak benar (untruthful) dan mengelirukan,” kata Nair.

Beliau sementara itu turut menjelaskan, transkripsi yang dikemukakan dalam surat tuntutan Muhyiddin telah dipetik di luar konteks dan diputar belit semata-mata untuk memberi suatu gambaran yang tidak benar dengan niat memfitnah.

Anwar juga menegaskan bahawa Muhyiddin telah sengaja dan berniat jahat memfitnahnya dalam menerbitkan kenyataan-kenyataan tidak benar dan di luar konteks.

Anwar baru-baru ii mendedahkan sebahagian dokumen yang membuktikan beliau sudah menandatangani dokumen berkaitan Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA) serta penerbitan sukuk berjumlah RM990 juta sebagai jaminan kerajaan terhadap Felda.

Pada 7 Julai lalu, sempena Hari Peneroka, Anwar mendakwa langkah melupuskan hutang peneroka tidak dibuat oleh Kerajaan PN sebelum ini dan perkara itu berterusan sehingga beliau mengambil alih kerajaan.

Muhyiddin kemudian menafikan dakwaan Anwar itu dengan menyatakan pelupusan hutang peneroka sudah diselesaikan ketika pentadbirannya.

Related Articles

Back to top button