Inisiatif Payung Rahmah akan terus berkembang
Inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diyakini tidak akan mati seperti pandangan sesetengah pihak.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sebaliknya inisiatif tersebut terus berkembang dengan penyertaan lebih banyak pemain industri daripada pelbagai sektor.
“Inisiatif ini sudah berkembang dan saya yakin bahawa ia tak seperti mana yang dibimbangi dan digembar-gemburkan bahawa ia akan ‘mati’ di tengah jalan.
“Nampaknya dari Januari sehingga sekarang, Ogos ini inisiatif Payung Rahmah mendapat sambutan dan apa yang saya rasa gembira adalah di samping pemain industri yang mendukung seluruhnya, kecuali Jualan Rahmah diberikan subsidi dan bantuan yang lain itu adalah sumbangan daripada pemain industri itu sendiri,” katanya.
Ahli Parlimen Pulai itu berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pelancaran Food Bank dan Menu Rahmah serta Libat Urus di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok.
Sementara itu jelas beliau, kerajaan melalui kementeriannya itu komited dalam memastikan lebih ramai pemain industri mengambil bahagian dalam inisiatif Payung Rahmah itu.
“Semakin bertambah (penyertaan pemain industri) bermula dengan restoran kemudian Persatuan Restoran Tomyam, Restoran Mamak kemudian bergerak kepada syarikat insurans, perkakasan dan seterusnya syarikat penerbangan.
“Banyak pemain nanti yang akan menyertai ini. Ada saja setiap minggu saya merasmikan produk dan jangan bimbanglah kerana kerajaan komited untuk mengadakan kerjasama dengan pemain industri supaya lebih ramai akan menyertai inisiatif ini,” jelasnya.