Semasa

Jakim adakan siri penerangan kekang ajaran sesat SiHulk

Umat Islam di negara ini dinasihatkan tidak terlibat dan menjauhi penyebaran ajaran sesat yang dibawa Suhaini Mohammad atau SiHulk.

Gesaan itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar susulan beberapa video tular di media sosial baru-baru ini, melibatkan beberapa individu yang mengaku sebagai pengikut ajaran sesat Suhaini Muhammad atau SiHulk

Tegas Mohd Na’im, mana-mana pihak didapati menyebarkan ajaran itu boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri.

Bagi tujuan penguatkuasaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diarah bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membanteras ajaran yag menyeleweng dengan mendakwa Nabi Muhammad sebagai tuhan, Nabi Muhammad tidak mempunyai jantina, menafsir sendiri sebuah hadis dengan menyatakan Nabi Muhammad tiada kemaluan dan sebagainya.

Terkini, pengikut ajaran itu yang dipercayai berada di New Zealand giat menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan fahaman mereka dengan pengakuan daripada beberapa individu dipercayai pengikut ajaran itu bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan.

“Adalah dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 telah memutuskan bahawa ajaran dan fahaman SiHulk sebagai sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Seperti yang sedia maklum, tindakan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), pihak Jakim telah menyalurkan maklumat mengenai ajaran dan kegiatan kumpulan SiHulk kepada pihak JAIN.

“Antaranya kepada Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu Mhd Na’im menggesa orang awam yang mempunyai maklumat juga digalakkan untuk segera tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Katanya lagi, Jakim, pihak berkuasa agama negeri dan agensi berkaitan juga akan mengadakan siri penerangan di seluruh negara berkaitan bahaya ajaran sesat tersebut.

Related Articles

Back to top button