Nasional

Kerajaan akan beri tempoh secukupnya sebelum laksana subsidi bersasar

Kerajaan akan memberikan tempoh secukupnya kepada semua pemain industri kecil bagi merancang pelan perniagaan masing-masing sebelum subsidi bersasar dilaksanakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan meminta golongan ini bersedia kerana tidak mahu mereka terjejas.

Beliau berkata, kerajaan mahu melaksanakan sistem subsidi bersasar supaya ia sampai kepada golongan yang tepat termasuk minyak peket bersubsidi.

“KPDN memberikan beberapa pandangan konstruktif dan proaktif supaya pemain industri kecil minyak masak lebih ke hadapan dalam menentukan pelan bisnes mereka kerana dalam keadaan dunia yang kompetitif ini tidak ada satu industri yang boleh kekal dengan cara lama dan kebiasaan.

“Kita sedang tunggu Pangkalan Data Utama (PADU) menyiapkan data yang lebih konstruktif yang dijangka siap akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Perasmian Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara dan Langkawi Borong Edar di Alor Senjaya, Kedah, pada Jumaat.

Salahuddin berkata, tempoh masa paling singkat yang akan diberikan kepada semua pemain industri kecil adalah selama dua tahun bagi menentukan pelan perniagaan mereka sebelum subsidi bersasar dilaksanakan.

Pada 18 Mei lalu, Salahuddin berkata pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel dijangka mula dilaksanakan pada tahun depan dan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang membabitkan beberapa kementerian bersetuju supaya satu pangkalan data bersepadu disiapkan bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar itu berkesan.

Related Articles

Back to top button