Nasional

Kerajaan peruntuk RM64.8 juta khusus bagi pendidikan Orang Asli

Kerajaan memperuntukkan RM64.8 juta kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tahun ini bagi perbelanjaan sekolah rendah, menengah hingga institut pengajian tinggi (IPT) untuk pelajar Orang Asli.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ramlan Harun berkata bantuan tersebut merangkumi bantuan pengangkutan RM36.8 juta, wang saku RM12 juta dan yuran RM638,000.

“Selain itu, kerajaan telah memperuntukkan bantuan kewangan ke institut pengajian tinggi sebanyak RM6.28 juta bagi menggalakkan peningkatan bilangan pelajar Orang Asli melanjutkan pengajian ke IPT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Jakoa 2022 di Bangi, hari ini.

Ramlan berkata, sehingga kini terdapat seramai seramai 751 pelajar Orang Asli sedang menuntut dalam pelbagai peringkat di IPT dalam pelbagai jurusan.

Ujar beliau, jika dilihat daripada jumlah tersebut, kita dapati bahawa masyarakat Orang Asli kini telah mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai kepentingan pendidikan.

“Pada tahun 2022, seramai tujuh orang pelajar Orang Asli telah melanjutkan pelajaran ke luar negara di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam pelbagai bidang.

“Sejak program Ijazah Luar Negara (ILN) dilaksanakan dari tahun 2010 hingga tahun lalu, seramai 93 pelajar Orang Asli telah berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti di United Kingdom, Rusia, Amerika Syarikat, Australia, Perancis dan Korea.

“Kejayaan yang dicapai ini telah membuktikan bahawa mereka juga mampu bersaing dengan masyarakat yang lain dan tanggapan negatif masyarakat bahawa masyarakat Orang Asli terlalu mundur adalah tidak benar,” tegasnya.

Related Articles

Back to top button