PRN: PKR Selangor akan tampilkan 30 peratus calon muka baharu
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dijangka menampilkan 30 peratus calon muka baharu yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini.
Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, calon muka baharu dalam pilihan raya amat penting dalam usaha membawa nafas baru serta penjanaan semula (regeneration) barisan kepimpinan.
“Minimum 30 peratus saya rasa kita letakkan muka baharu, mungkin angkanya lebih tetapi saya kena tengok rakan-rakan dari AMANAH dan DAP.
“Bagi PKR, saya percaya sekitar 30 peratus adalah perlu, ia adalah suntikan baru untuk rakyat khususnya (mendapat) perubahan dan pada masa sama, kita juga hendak memastikan ada ‘regeneration’ dalam kalangan kepemimpinan.
“Sebab itu PKR dan juga Pakatan Harapan (PH), ramai wakil rakyat kita muda, ada bermula umur sekitar 27 tahun 28 tahun sebagai wakil rakyat dan setelah 15 tahun, kita berumur 43 atau 44 tahun.
“Kalau di sesetengah parti, umur ini (40-an) baru hendak bermula dan masih dianggap muda, tetapi di PKR, dia sudah jadi ‘senior’,” katanya memetik laporan BH.
Justeru itu katanya, golongan muda perlu diberikan ruang dan peluang agar PKR tidak mengulangi tradisi sesetengah parti yang mengekalkan pemimpin sama penggal demi penggal.
“Jadi kita kena bagi ruang kepada invidivu muda yang lain supaya kita tidak mengulangi tradisi ataupun kaedah sebagaimana yang berlaku di dalam parti yang sudah agak tua.
“Mereka mengekalkan tokoh-tokoh lama yang berpanjangan sampai berpenggal-penggal yang tidak ditukar-tukar dan sebagainya.
“(Calon muka baru dalam PRN) ini lumrah kerana rakyat yang inginkan nafas baru dan suara baru,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut mengulas ketika ditanya dakwaan semua barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor dijanjikan kerusi dalam PRN ini.
“Itu bergantung kepada parti masing-masing, itu di luar pengetahuan saya, kalau DAP takkan saya yang hendak tetapkan (kerusi).
“Macam PKR, saya tengah bincang, saya ingat dalam tempoh 24 jam ini banyak lagi perkara yang kita bincangkan termasuk posisi Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan bertanding dalam PRN,” katanya.