Music Malaysia sokong tindakan tegas kerajaan terhadap The 1975
Tindakan tegas kerajaan yang menghentikan persembahan kumpulan The 1975 dari British susulan melakukan perbuatan jelik di Festival Good Vibes 2023 (GVF 2023) pada Jumaat disokong penuh Gabungan Persatuan Industri Muzik Malaysia (Music Malaysia).
Pengerusinya, Datuk Freddie Fernandez berkata perbuatan jelik sedemikian adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya dilakukan.
“Apa yang kita dapat lihat ialah jurucakap kumpulan itu tidak berpuas hati dengan peraturan dan syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa Malaysia ke atas mereka yang disampaikan oleh penganjur tempatan.
“Daripada mematuhinya, jurucakap kumpulan itu sebaliknya ingkar dan memilih untuk menghina kerajaan Malaysia dengan melontarkan kecaman yang penuh dengan kata-kata kotor.
“Saya menggesa semua penganjur di negara ini agar memaklumkan terlebih dahulu kepada semua artis luar yang ingin dijemput ke sini bahawa ada peraturan yang perlu dipatuhi dan jika mereka tidak setuju maka lebih baik tidak usah datang langsung,” menurutnya dalam kenyataan.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengarahkan agar GVF 2023 dibatalkan serta-merta susulan tindak tanduk melampau vokalis kumpulan itu memegang botol arak di atas pentas ketika melakukan persembahan, selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.
Pada konsert yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang itu, vokalis tersebut turut membuat ucapan menghina undang-undang negara berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum mencium rakannya di pentas.
Fahmi ketika membatalkan GVF 2023 itu menegaskan pendirian Kerajaan Perpaduan adalah jelas selain tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencabar, memperkecil atau melanggar undang-undang Malaysia.
Sementara tu Freddie berkata, Malaysia tidak perlu mengulangi insiden di mana seorang penghibur yang tidak boleh dikawal boleh mencemar nama naik negara yang begitu menyokong industri muzik dan konsert oleh artis luar sejak lebih lima dekad.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan jelik kumpulan ini dan pada masa sama, berharap tiada reaksi atau tindakan susulan mengejut bagi memperkenal peraturan dan syarat baharu yang mentadbir konsert hanya kerana disebabkan oleh insiden terpencil ini yang menyaksikan ramai peminat muzik Malaysia meluat dengan perlakuan jelik mereka,” tambahnya.
Semalam Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memaklumkan telah menyenaraihitam The 1975 daripada membuat sebarang persembahan di negara ini.