Semasa

Syeikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari dilantik Felo Kehormat TGSISL

Masyarakat Islam perlu mempunyai elemen ilmu, adab dan akhlak tinggi bagi mengelakkan situasi tegang akibat perbezaan pendapat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada Peluncuran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan di Putrajaya malam tadi, Anwar menegaskan sejarah membuktikan elemen berkenaan adalah perkara penting pada zaman Nabi Muhammad SAW ketika persiapan sebelum penghijrahan dari Kota Makkah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi.

“Prinsip-prinsip ini jika diketepikan akan menyebabkan sesebuah masyarakat jadi tempang dan jatuhkan hukum sewenang-wenangnya.

“Kita (kerajaan) tekankan soal pendidikan dan kita guna dana untuk ilmu berkaitan Islam,” katanya.

Bagi memperkasa ilmu, adab dan akhlak dalam kalangan masyarakat di negara ini, Anwar berkata beliau telah meminta Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menterjemah kitab Adabul Insan Fil Islam untuk diedarkan secara percuma.

“Umat Islam di negara ini perlu menyelami sirah Islam untuk mengetahui sejarah perjuangan Nabi Muhammad dan para sahabat dalam pelbagai peristiwa penting Islam sebagai usaha mengelakkan perpecahan akibat perbezaan pendapat

“Saya telah minta supaya buku Adab Perbezaan Pendapat tulisan Sheikh Taha Jabir Fayyad al-Awani diterbitkan semula bagi untuk membasmi perpecahan dan kehilangan adab,” tambahnya.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di Masjid Putra dengan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Salahuddin Ghozali.

Majlis itu bermula pada 2 petang dengan dua syarahan berkaitan sahih al-Bukhari yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Profesor Madya Dr Luqman Abdullah dan Penasihat Agama Presiden Mesir Sheikh Dr Usamah Sayyid Al-Azhari.

Malam tadi, Anwar menyerahkan surat lantikan sebagai Profesor Adjung Institut Peradaban Islam Antarabangsa dan Felo Kehormat Institut Kepimpinan Strategik Tun Ghazali Shafie kepada Mufti Besar India yang juga Pengasas Universiti Jamia Markaz di Kerala, India Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad.

Beliau turut menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman di antara Kolej Universiti Yayasan Pahang dan Universiti Jamia Markaz.

Majlis dihadiri kira-kira 3,000 jemaah, diakhiri dengan solat Isyak secara berjemaah yang diimamkan oleh Penolong Pengarah Kanan Unit Pendidikan Masjid Putra Abdul Karim Zakaria.

Related Articles

Back to top button