Sukan

Amirudin seru belia aktif sukan, elak terjebak pengaruh negatif

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyeru anak muda terutama di negeri itu melibatkan diri dalam aktiviti sukan bagi mengelak pengaruh negatif di media sosial.

Dipetik laporan Selangorkini Amirudin berkata selain itu, sukan juga dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan bangsa.

“Melalui ‘peers’ atau rakan sebaya, dalam aktiviti sosial dan sukan, ini adalah penentu masa depan untuk menggalakkan perpaduan.

“Di sini, boleh sokong mana-mana dari pasukan, agama atau parti mana, kita boleh duduk sama-sama. Ini antara usaha kita memulihkan negara selepas pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Penutupan Kejohanan Futsal Amatur Piala Datuk Seri Amirudin Shari,di KSL Sport Futsal, Batu Caves, pada Ahad.

Terdahulu, program anjuran Kelab Sukan Kebajikan dan Rekreasi Negeri Selangor dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 7 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menerima penyertaan 300 anak muda.

Hadir sama, Ketua Pemuda MIC Selangor, Sundaram Kuppusamy; Ketua Bahagian MIC Gombak, K Gobiraj dan rakan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Dalam acara diadakan semalam,pasukan Tot United A dinobat juara sekaligus melayakkan pasukan berkenaan membawa pulang wang tunai RM2,500 dan pingat.

Pasukan Hyper Rich dinobat naib juara membawa pulang wang tunai RM2,000 dan pingat, tempat ketiga, SMM 5 Star (RM1,500 dan pingat) serta tempat keempat oleh 5KFT (RM1,000 dan pingat).

Related Articles

Back to top button