Berehatlah Salahuddin sahabat setia ku – PM Anwar
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih atas berita pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Melalui hantaran di laman Facebook rasminya, Perdana Menteri itu berkata, amat terkesan dengan berita pemergian sosok sahabat yang teguh dan setia berjuang bersamanya sehingga akhir hayat.
Tambah Anwar, Timbalan Presiden Amanah itu dikenali dengan sikap keperibadian yang tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan. Sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab.
“Secara peribadi, ianya satu kehilangan besar buat diri saya dan keluarga, dan saudara Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat. Jasa dan budinya tentunya tidak termampu dibalas secara materi.
“Berehatlah, sahabatku.
“Semoga Allah SWT memberi kesabaran yang tinggi buat keluargamu, mengampunkan segala dosamu dan semoga saudaraku Salahuddin diberikan tempat yang istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah,” tulis Anwar.
Salahuddin disahkan meninggal dunia pada jam 9.23 malam Ahad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Sebelumnya beliau mengadu mual dan muntah-muntah sebelum kemudiannya disahkan mengalami pendarahan dalam otak telah ditidurkan selepas selamat menjalani pembedahan di hospital tersebut semalam.
Setiausaha Akhbar Salahuddin dalam satu kenyataan malam tadi berkata, Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah ibundanya di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Johor untuk disemadikan.