Umum

Inisiatif Payung Rahmah perlu diteruskan – Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu inisiatif Payung Rahmah diteruskan oleh pengganti Allahyarham Salahuddin Ayub di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) nanti.

Ahmad Zahid berkata ia kerana rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar pastinya mengharapkan inisiatif berkenaan dapat diteruskan dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup ketika ini.

“Allahyarham seorang yang sangat baik, rajin bekerja tidak mengira masa dan tidak kira di mana jua. Dalam Kabinet, beliau merupakan seorang yang sangat bekerja keras dan teliti terutamanya apabila menjalankan tentang inisiatif Payung Rahmah.

“Ia harus diberikan kesinambungan oleh sesiapa yang akan dilantik menjadi menteri selepas ini kerana rakyat pasti teringat akan sumbangan beliau pada negara melalui skim Payung Rahmah ini,” katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat di Pontian, hari ini.

Sejak memegang jawatan Menteri KPDN, Salahuddin melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah jenama Payung Rahmah bagi membantu rakyat menghadapi pelbagai cabaran berhubung kenaikan kos sara hidup terutama ketika negara dan ekonomi sedang pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

Menurut Zahid lagi, beliau sudah lama mengenali Salahuddin sejak Ahli Parlimen Pulai itu masih bersama Pas.

“Kami kenal dah lama… sejak (Salahuddin) dalam Pemuda Pas lagi, macam sahabatlah. Tapi bagi saya, beliau adalah seorang yang sangat bekerja keras.

“Malah, beliau bekerja tak kira masa dan beliau berada di mana-mana, antaranya dengan menyediakan Bakul Rahmah.

“Oleh itu, daripada kalangan golongan miskin tegar (B40) akan pasti teringat sumbangannya terhadap skim Rahmah ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button