Semasa

Jenazah Bapa Rahmah Malaysia, Salahuddin Ayub selamat disemadikan

Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub selamat selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong, Serkat, Pontian, Johor sebelum tengahari tadi.

Allahyarham sebelumnya disolatkan dengan diimamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi ke tanah perkuburan itu oleh ibunya Aminah Abdullah, 83 dan isteri Datin Seri Fatimah Taha serta anak-anak, saudara-mara, rakan taulan dan masyarakat setempat.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai menghembuskan nafas terakhir jam 9.23 malam tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Beliau dianggap Bapa Rahmah Malaysia atas kesungguhannya memastikan pelbagai pakej di bawah Program Payung Rahmah, antaranya menu makanan, bakul makanan serta jualan murah mencapai matlamat dalam membantu golongan berpendapatan rendah.

Beberapa pemimpin kepimpinan parti politik tanah air antaranya Menteri Pertanian dan Kerterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut hadir memberi penghormatan.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng; Naib Pengerusi AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor turut dilihat berada di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot di Serkat.

Sebelumnya suasana pilu menyelubungi kediaman ibu Alalhyarham di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai sebaik jenazahnya tiba pada jam 3.35 pagi.

Terdahulu, jenazah Salahuddin yang dibawa menaiki pesawat khas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Alor Setar, Kedah, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kulai, pada jam 2.30 pagi.

Saudara-mara dan penduduk kampung dilihat mula memenuhi perkarangan kediaman ibu Allahyarham sejak berita pemergian Salahuddin diumumkan secara rasmi malam tadi.

Related Articles

Back to top button