Nasional

Kemasukan pelajar Tingkatan Enam hanya melalui pengetua sekolah

Kemasukan pelajar bagi menyambung pengajian ke Tingkatan Enam kini hanya perlu melalui pengetua sekolah dan tidak lagi perlu memohon tawaran kemasukan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kuasa autonomi yang diberikan kepada pengetua merupakan antara usaha kerajaan dalam membantu melonggarkan syarat kemasukan ke peringkat pendidikan itu sekali gus mengurangkan isu keciciran pelajar.

“Sebelum ini permohonan tawaran untuk menyambung pengajian di peringkat STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) menerusi KPM, dengan kuasa yang ada pengetua sudah boleh ambil murid Tingkatan Enam.

“Kita bagi autonomi supaya pengetua boleh cari siapa yang tak ada ruang belajar atau tak boleh sambung belajar untuk dia ambil pelajar itu masuk terus. Tak perlu tunggu tawaran daripada KPM,” katanya selepas menyempurnakan majlis Himpunan Pewaris Generasi Madani di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma), Terengganu, hari ini.

Pada majlis itu Fadhlina turut menyampaikan sumbangan komputer riba tajaan Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd kepada lapan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, kerajaan kini juga memberikan perhatian terhadap penjenamaan semula Kolej Tingkatan Enam kepada Kolej Pra-Universiti KPM bagi menaik taraf sistem pendidikan berkenaan.

Selain itu, katanya tumpuan juga diberikan kepada pelajar B40 lepasan STPM supaya merek dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Kita ada lagi insiatif-inisiatif untuk pelajar Tingkatan Enam yang sedang kita angkat bagi memastikan laluan mereka menyambung pengajian diperkukuhkan.

“Memandangkan pelajar lepasan STPM ini kebanyakan daripada keluarga B40, kita mahu pastikan pendidikan mereka ini terus diberikan perhatian dan dijamin untuk terus mendapat akses serta peluang belajar,” katanya.

Related Articles

Back to top button