Kerajaan Perpaduan tekad majukan Kelantan – PM Anwar
Kerajaan Perpaduan berazam untuk memajukan Kelantan jika calon mewakili parti dalam kerajaan berjaya menawan negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri amat penting untuk memastikan kebajikan rakyat terus terjaga serta terbela.
“Inilah masanya untuk rakyat perlu bangkit, percaya dan yakin dengan hasil kerja yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan.
“Saya minta orang Kelantan faham, tolong selamatkan Kelantan dan Malaysia kerana ini adalah peluang kita sebab kita fikir nasib Melayu, jaga rakyat desa dan miskin bandar serta pembangunan di negeri ini,” katanya.
Anwar berkata begitu pada Jelajah Perpaduan MADANI dan Pelancaran Jentera Perpaduan di Kelantan di Machang malam Ahad yang turut dihadiri Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dalam ucapannya juga menyeru rakyat Kelantan memberi peluang kepada parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negeri itu.
“Semua calon yang bertanding perlu bekerja keras dan kita minta rakyat Kelantan beri peluang kepada calon-calon mewakili Pakatan Harapan dan BN untuk menang pada PRN kali ini sekali gus dapat mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Pas (yang telah memerintah) selama 33 tahun.
“Kalau kita menang, kita akan berlaku adil kepada semua rakyat, kita akan beri keutamaan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.