Semasa

PM beri penghormatan, imamkan solat jenazah Salahuddin

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkesempatan mengimamkan solat jenazah buat Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Anwar tiba di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot di Serkat di Pontian kira-kira pukul 11 pagi dengan diiringi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Terdahulu, turut kelihatan beberapa menteri Kabinet, antaranya Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan menghadiri solat jenazah.

Beberapa pemimpin politik antaranya Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng, Naib Pengerusi parti Amanah Dr Dzulkefly Ahmad, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu meninggal dunia pada umur 61 tahun di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam tadi (Ahad), setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak pada usia 61 tahun.

Timbalan Presiden Amanah itu meninggalkan isteri, Datin Seri Fatimah Taha serta empat anak lelaki dan dua anak perempuan.

Related Articles

Back to top button