K’jaan mampu kutip lebihan hasil langkah lawan ketirisan
Usaha kerajaan menutup ketirisan perolehan dianggap satu langkah penting yang berjaya membuahkan hasil kerana negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usaha itu telah membantu merekodkan lebihan-lebihan pendapatan berbanding tahun lalu yang manfaatnya dapat di salurkan kepada rakyat termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan eBelia Rahmah.
Lebihan pendapatan yang dicatatkan itu juga datang dari hasil usaha kerajaan meningkatkan kecekapan kutipan hasil yang menutup ketirisan dan langkah menambah pendapatan dengan langkah rasionalisasi subsidi.
“Mungkin saudara-saudara bertanya mana dapat duit? Jadi apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyebut supaya tatakelola ditingkatkan dan ketirisan dikurangkan, maka duit kita insya-ALLAH ada.
“Kalau RM388.1 juta (menjadi) satu angka terbesar negara bagi belanjawan 2023, saya yakin Belanjawan 2034 (yang dijadual dibentang) pada 13 Oktober tak lama lagi mungkin lagi tinggi daripada jumlah itu,” katanya.
Ahmad Maslan berkata begitu pada program SinarLive bertajuk ‘STR: Membantu atau membantut?’ yang dihoskan Haizir Othman dan diadakan di Studio F, Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Isnin.
Ahli Parlimen Pontian itu menjelaskan, bantuan lain yang turut disalurkan kepada kerajaan antaranya adalah Bantuan Khas Pesawah kepada 300,000 pesawah yang menerima RM200 sebulan dalam tempoh tiga bulan semusim yang keseluruhannya menelan belanja RM228 juta.
“Satu lagi kerajaan naikkan insentif pengeluaran getah daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram sebagai harga lantai getah yang membabitkan peruntukan RM350 juta.
“Kemudian bantuan musim tengkujuh kepada penoreh getah untuk tahun 2023 ini kita naikkan daripada RM600 kepada RM800 yang melibatkan (peruntukan) RM256 juta. Selain itu, bantuan untuk nelayan dan bantuan lain juga kita diteruskan,” ujarnya.