Semasa

KKD pandang serius hantaran bersifat mengugut di media sosial

Penularan video berbaur ugutan yang memaparkan gambar pemimpin politik dan senjata dalam aplikasi TikTok mutakhir ini diberi perhatian serius.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dipetik laporan media berkata, kandungan tersebut membimbangkan, tindakan diambil oleh pentadbiran aplikasi penstriman video sosial itu yang menurunkan hantaran berkenaan.

“Alhamdulillah kandungan tersebut diturunkan oleh pihak Tik Tok sendiri dan ia agak merisaukan dan memberi bayangan seolah-olah ada tindakan yang kita boleh anggap sebagai cubaan mengugut.

“Dengan meletakkan gambar seorang ahli politik, beberapa gambar di atas peranti dan keliling meja ada beberapa orang yang tegap badannya dan di sudut meja itu terdapat kapak dan keris,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada satu majlis di Shah Alam baru-baru ini.

Sementara itu Fahmi tanpa merujuk secara khusus identiti pemimpin politik berkenaan berkata, kandungan video itu dianggap sangat tidak sihat dan menyifatkan tindakan diambil oleh pentadbir aplikasi tersebut sebagai tepat.

“Situasi yang kita hadapi kandungan di TikTok tiada tanda pagar ataupun tag yang mudah dicari (untuk rujukan). Perlu ada sistem yang berbeza buat pemantauan dan pengesahan tag tersebut,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sehubungan itu, KKD akan mengadakan pertemuan dengan Polis Diraja Malaysia bersama agensi berkaitan untuk membincangkan perkara tersebut bagi memastikan penyebaran kandungan sedemikian dapat dipantau dan dihalang.

Related Articles

Back to top button