Negeri

KPKT peruntukkan RM3.4 juta pulih enam projek terbengkalai di Kelantan

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM3.4 juta bagi pemulihan enam projek terbengkalai di Kelantan, tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perumahan Swasta) Jabatan Perumahan Negara (JPN) KPKT, Norsazila Nordin berkata peruntukan itu akan disalurkan kepada kerajaan negeri, dan kerja-kerja pemulihan pula akan dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Bagi tujuan itu Kementerian jelasnya akan membuat pemantauan berterusan bagi memastikan kerja-kerja pemulihan itu dapat disiapkan mengikut tempoh dutetapkan.

“KPKT akan meneruskan pemantauan berterusan bagi memastikan semua kerja-kerja pemulihan melibatkan enam projek terbengkalai ini dapat disiapkan menjelang akhir 2024.

“Sesi libat urus dengan agensi-agensi teknikal juga turut dipergiatkan bagi mencari penyelesaian terhadap isu-isu teknikal yang menjejaskan penyiapan projek-projek perumahan swasta yang lewat, sakit dan terbengkalai,” katanya.

Norsazila berkata begitu selepas melakukan tinjauan rumah terbengkalai di Taman Animaz, di Machang pada Isnin yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Hal Ehwal Korporat) PKINK Hishamuddin Hussein.

Sementara itu jelasnya, meskipun pemaju bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyiapkan projek perumahan swasta berkenaan, namun kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan ini sebagai tanggungjawab sosial dengan mengambil kira bebanan rakyat iaitu pembeli rumah yang sudah lama terkesan.

“Ini penting bagi memastikan projek-projek itu memperolehi Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) atau Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) supaya rumah kediaman berkenaan disahkan selamat untuk diduduki,” katanya.

Difahamkan, Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan RM20 juta di bawah peruntukan tahunan dan inisiatif Belanjawan MADANI 2023 bagi pemulihan projek perumahan terbengkalai.

Related Articles

Back to top button