Semasa

Menu Rahmah sentuh hati rakyat – Ameer Ali Mydin

Legasi Menu Rahmah yang ditinggalkan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub ternyata memberi kesan besar buat semua.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) Ameer Ali Mydin berkata walaupun Menu Rahmah adalah satu inisiatif yang mudah, namun ia menyentuh hati rakyat.

Ahli perniagaan itu berikrar untuk meneruskan inisiatif Menu Rahmah diperkenal Salahuddin bagi membantu segmen B40 berdepan dengan kos sara hidup.

“Biarpun pencetus ideanya sudah tiada, Mydin akan cuba untuk meneruskan legasi beliau dan akan terus menjual Menu Rahmah kepada rakyat Malaysia.

“Sampai mati saya akan buat Menu Rahmah ini,” katanya dipetik satu hantaran di Facebook rasmi Mydin Malaysia.

Salahuddin, yang juga timbalan presiden Amanah, meninggal dunia akibat pendarahan otak di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada Ahad malam.

Ahli politik berusia 61 tahun itu meninggalkan balu Fatimah Taha, enam orang cahaya mata dan 11 cucu.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong Kampung Serkat di Pontian, Johor, semalam.

Related Articles

Back to top button