Semasa

Pasukan penyelamat misi bencana Turkiye dianugerahkan pingat khas

Seramai 250 petugas pasukan penyelamat yang terlibat misi bencana di Turkiye pada Februari lalu dianugerahkan Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan.

Penyampaian itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali pada Selasa kepada pasukan terdiri daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) berhadapan dengan beberapa cabaran yang agak mencabar antaranya cuaca ekstrem di lokasi bencana, koordinasi logistik dan pengangkutan serta perbezaan bahasa dan budaya.

“Sumbangan yang dicurahkan ini mengharumkan nama dan melonjakkan lagi imej Malaysia di pentas antarabangsa yang sudah pasti membanggakan kita semua.

“Ia akan menjadi tanda aras kepada Malaysia semasa menyertai SAR di luar negara pada masa akan datang,” katanya dalam majlis yang diadakan di IPCC, Putrajaya itu .

Idea menganugerahkan pingat khas itu adalah cetusan idea oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengiktiraf dan menghargai jasa, bakti serta pengorbanan anggota penyelamat yang terbabit misi bencana dan menyelamat di luar negara.

Selain pingat, anggota penyelamat turut dihargai dengan diberikan elaun khas dan sijil penghargaan.

Dalam misinya, pasukan penyelamat Malaysia berjaya menyelamatkan lima mangsa yang masih hidup dan mengeluarkan 47 mangsa yang meninggal dunia di bawah runtuhan bangunan.

Sementara itu Armizan menjelaskan, pingat Khas yang diberikan ini hanya sekadar di peringkat dalaman yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Walau bagaimanapun kerajaan secara prinsip sudah bersetuju untuk mewartakan pingat itu sebagai Pingat Persekutuan.

Ketika ini jelasnya pihak yang berkenaan sedang memuktamadkan prosesnya dengan Bahagian Istiadat, Istana Negara.

Kita juga bercadang dan sedang mengkaji untuk memberikan pengiktirafan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam misi kemanusiaan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button