Selangor terima jumlah pelaburan RM60 bilion tahun lepas
Kejayaan membawa pelaburan RM60 bilion tahun lalu adalah hasil daripada sektor perkhidmatan dan pembuatan yang menjadi teras ekonomi di Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, disebabkan pelabuhan dan lapangan terbang yang wujud menjadikan sektor teras penting dan ia juga menjadi penampan kepada ekonomi ketika pandemik.
Menurutnya, sektor penghantaran makanan barangan dan makanan yang menjadi aspek dalam e-dagang begitu diperlukan untuk menyambung hidup ketika pandemik telah berjaya menstabilkan kedudukan ekonomi negeri agar tidak jatuh teruk.
“Biasanya kalau ekonomi negara kita jatuh negatif lima peratus, biasanya Selangor akan jatuh lebih besar iaitu tujuh hingga sembilan peratus.
“Tetapi kali pertama pada tahun 2020, negatif kita adalah 5.6 peratus, Selangor mencatatkan lebih baik negatif 5.2 peratus ini disebabkan sektor perkhidmatan yang baik dan persediaan kita dari segi aspek digitalisasi,” katanya
Beliau berkata demikian pada program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman di Karangkaraf, kelmarin.
Tambahnya lagi, Selangor menerima pelaburan besar RM3 bilion daripada sebuah syarikat dari Australia berkenaan data.
Manakala, RM2 bilion lagi daripada sebuah syarikat di Seksyen 15 Shah Alam ini bukti kestabilan ekonomi di Selangor dan kestabilan pelaburan yang wujud.
“Memang kadang-kadang angka pelaburan kita rendah berbanding Johor yang mencecah RM70 bilion tahun ini, tapi kalau kita ukur dari segi peluang tenaga kerja Selangor sentiasa menyumbang tenaga kerja terbesar.
“Setakat ini sudah lima tahun kita berjaya hasilkan 89,000 peluang pekerjaan yang turut menjemput migrasi ataupun kehadiran ramai masyarakat dalam dan luar negara,” jelasnya.