Ekonomi Madani tetapkan tujuh penanda aras – PM Anwar
Ekonomi Madani yang merupakan kerangka hala tuju ekonomi baharu Malaysia dengan menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antaranya, Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia dan Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia.
“Jika kita hanya berpuas hati dengan keadaan sekarang, ekonomi akan terus mencatat pertumbuhan antara empat hingga lima peratus.
“Namun, jika kita berusaha gigih dan melaksana pembaharuan, kita mampu mencapai 5.5 peratus, malah saya percaya adalah tidak mustahil untuk kita menghasilkan pertumbuhan enam peratus,” katanya lagi.
Selain itu katanya, peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan dan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus.
“Kelima Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia. Keenam Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia dan Kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai tiga peratus atau lebih rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara, hari ini.