Hasil padi perlu ditingkatkan untuk lindungi permintaan domestik masa depan – KPKM
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan Malaysia perlu bersedia untuk mencapai tahap sara diri (SSL) dalam pengeluaran beras.
Bercakap pada satu program di Alor Setar semalam, beliau berkata tempoh enam tahun akan datang akan menjadi tempoh kritikan untuk negara mencapai matlamat itu berikutan risiko negara pengeksport seperti India untuk mengurangkan atau menghentikan eksport makanan ruji itu bagi melindungi permintaan domestik masing-masing.
Menurutnya, selain usaha berterusan yang dimainkan kerajaan dalam menghadapi isu itu, penting untuk pesawah-pesawah juga memahami keperluan meningkatkan hasil padi negara dalam melindungi Malaysia dari berdepan masalah kekurangan bekalan makanan ruji itu.
“Di pihak kerajaan, kita perlu mengambil tindakan segera menambah baik input pertanian padi dan infrastruktur sedia ada dalam sektor perladangan padi dan mengamalkan amalan petani Sekincan ke negeri lain.
“Kerajaan juga bercadang memperuntukkan RM3 bilion bagi menambah baik infrastruktur di bawah MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) bagi memperluaskan lima musim penanaman dalam setiap dua tahun,” katanya.
Mohamad sebelumnya hadir menyampaikan bantuan tunai kepada pesawah di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tajar.
Difahamkan ketika ini India menyumbang lebih 40 peratus daripada eksport beras dunia.
Dengan Inventori yang rendah dengan pengeksport lain bermakna sebarang sekatan dalam eksport boleh meningkatkan harga makanan terutama dunia turut berdepan isu pencerobohan Russia ke atas Ukraine tahun lalu dan cuaca tidak menentu.
Sementara itu Mohamad berkata, dalam meningkatkan hasil padi, projek perintis lima penanaman padi dalam tempoh dua tahun sudah dilaksanakan di 213 hektar sawah padi di bawah MADA.
Manakala pertanian ala Sekinchan sudah diperkenalkan di 187 hektar sawah padi di Sik dan Kerpan di Kedah, selain Simpang Empat di Perlis dan Besut di Teregganu.
“JUsteru saya berharap petani lain akan menyertai projek itu selepas melihat kisah kejayaan petani yang menyertai projek perintis.
“MADA akan membabitkan diri dengan petani untuk mendidik dan memotivasikan mereka untuk mengamalkan teknik pertanian moden.
“Saya percaya jika kita mampu meningkatkan hasil padi tahunan dalam tempoh empat hingga enam tahun akan datang, kita akan dapat mencapai 80 peratus pengeluaran untuk memenuhi permintaan dalam negeri,” katanya.