Nasional

JKM bakal laksana projek rintis ‘Anjung Sinar’

Projek perintis ‘Anjung Sinar’ bakal dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ‘Anjung Sinar’ merupakan sebuah pusat transit untuk belia berusia 18 tahun dan ke atas yang dibenarkan keluar daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tidak mempunyai ahli keluarga atau berasal daripada keluarga susah.

matlamat projek itu jelasnya adalah untuk memperkasa dan memastikan kesejahteraan belia terbabit dengan menyediakan peluang pendidikan, pekerjaan dan kemahiran.

Justeru katanya, pihak kementerian sangat mengalu-alukan pihak yang mahu terlibat dalam menjayakan usaha tersebut.

“Kami mengalu-alukan pihak untuk berkolaborasi dan berharap projek baharu ini akan berjaya untuk generasi seterusnya… untuk kementerian, tugas kami ialah menerajui pelbagai inisiatif bertujuan memperkasa dan meningkatkan taraf hidup mereka yang kurang berkemampuan.

“Bagaimanapun kami tidak boleh melakukannya sendiri dan kami sentiasa menyambut baik idea baharu, sokongan dan penyertaan sektor swasta dalam arena Kemampanan Korporat dan Tanggungjawab Sosial (CSR),” katanya.

Nancy sebelumnya merasmikan Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2023 di Kuala Lumpur malam tadi.

Sementara itu Nancy memaklumkan kementerian telah mewujudkan kerjasama CSR yang berjaya seperti program Anjung Kasih oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) pada tahun 80-an.

Anjung Kasih merupakan pusat penginapan sementara untuk ahli keluarga yang kurang berkemampuan menemani pesakit di hospital kerajaan.

“Terbaru, kami menganjurkan Anjung Kasih Pulau Pinang dan ia tidak akan dapat direalisasikan tanpa Kumpulan Sunway.

“Seramai 85,596 keluarga pesakit telah memanfaatkan Anjung Kasih yang disediakan di 18 hospital kerajaan di seluruh negara secara percuma,” katanya.

Beliau sebelum ini memaklumkan cadangan membina Anjung Kasih di semua hospital kerajaan seluruh negara.

Related Articles

Back to top button