Kerajaan bakal umum pelaburan RM25 bilion hari ini – Rafizi
Kerajaan Perpaduan akan mengumumkan pelaburan berjumlah sebanyak RM25 bilion, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau melalui satu hantaran di Twitter pada Rabu berkata, pengumuman itu yang akan dibuat hari ini dijangka akan membuka sehingga 23,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi buat rakyat negara ini.
Pelaburan itu katanya adalah sebagai sebahagian daripada program-program ekonomi yang dilaksana kerajaan bagi memulihkan negara.
“Tujuh bulan PN (Perikatan Nasional) mainkan isu kononnya Kerajaan Perpaduan perintah tidak ada pelaburanlah, prestasi ekonomi merudumlah.
“Kami di Kerajaan Perpaduan akan terus hasilkan program-program ekonomi yang berimpak tinggi untuk kesenangan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Twitternya pada Rabu.
Berdasarkan hantaran tersebut Rafizi dijangka akan mengumumkan pelaburan itu ketika acara peancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) petang ini.
Jelasnya, ada dua acara penting hari ini termasuk pelancaran kerangka Ekonomi Madani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kedua-dua rancangan tersebut akan menerangkan hala tuju ekonomi Malaysia untuk dekad ini selain untuk menarik pelabur, jana peluang kerjaya yang bernilai tinggi, dan meningkatkan pendapatan rakyat.
“Yang penting kami akan selesaikan masalah harian rakyat supaya kita tidak mengulangi kelemahan-kelemahan lalu, yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana.
“Itulah tugas mana-mana kerajaan iaitu ada idea, cari penyelesaian dan terus bertindak,” ujarnya sambil menegaskan Kerajaan Perpaduan akan terus mengutamakan dasar-dasar pro rakyat selain menjadi semak imbang antara satu sama lain.