ekonomi

Kerajaan setuju tawar kredit e-tunai RM100 kepada B40, M40

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan Kerajaan bersetuju untuk menawarkan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, inisiatif pemberian itu susulan melihat kepada kejayaan dan impak besar program e-tunai kepada masyarakat di negara ini.

“Melihat akan kejayaan dan impak besar program e-tunai kepada masyarakat, Kerajaan bersetuju untuk menawarkan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.

“Bilangan penerima yang layak dianggarkan melebihi 10 juta rakyat iaitu merangkumi golongan B40 dan M40 dengan dana sekitar RM1 bilion,” katanya pada Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu pada peluncuran itu, beliau turut mengumumkan bantuan RM200 kepada pesara kerajaan termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

Ia dijangka memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam termasuk lantikan kontrak, serta lebih sejuta pesara.

Related Articles

Back to top button