Malaysia – Filipina teroka peluang dagangan termasuk industri halal
Malaysia dan Filipina bakal menerokai beberapa peluang ekonomi penting termasuk dalam industri halal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara dibincangkan bersama Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke negara ini bagi memperkukuh bubungan dagangan dan diplomatik antara kedua-dua negara.
“Negara mengambil pengalaman bagaimana tindakan Filipina meningkatkan sektor ekonomi pasca Covid-19 di bawah kepimpinan Presiden, dan ini akan mengukuhkan kolobrasi hubungan dagangan dua negara.
“Kedua-dua pihak berbincang tentang potensi industri halal berkaitan isu pensijilan halal, jadi kita perlu mengambil tindakan bersama untuk memastikan supaya industri ini boleh menembusi pasaran ke Asia Barat,” katanya dalam sidang akhbar bersama di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Marcos Jr. yang tiba bagi lawatan rasminya semalam diberikan sambutan negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah di Istana Negara dan menghadap seri paduka baginda disusuli satu majlis santapan negara bagi meraikan beliau dan delegasi
Dalam pertemuan bersama Al Sultan Abdullah, kedua-dua pemimpin itu berbincang mengenai hubungan diplomatik dan ekonomi antara Malaysia dan Filipina serta aspek kebersamaan hubungan persaudaraan yang dimiliki rakyat Malaysia dan Filipina.
Sementara itu, Anwar ketika mengulas lanjut perbincangan dengan Marcos Jr berkata, kedua-dua negara sepakat untuk mengukuhkan persefahaman dan kerjasama dalam pelbagai isu berkepentingan bersama terutama dalam isu antarabangsa dan serantau.
Turut dibincangkan adalah penganjuran Malaysia dan Filipina yang akan menjadi tuan rumah mesyuarat Suruhanjaya Bersama ke-8, pada akhir tahun ini selain berusaha menterjemahkan memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui bersama dengan memudahkan proses dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.
Kedua-dua pemimpin turut menyentuh isu Myanmar dengan mengulangi pendirian Malaysia kekal teguh menyokong Konsensus Lima Perkara ASEAN, namun memberi ruang kepada negara-negara jiran untuk menangani isu tersebut dengan cara masing-masing tanpa mengorbankan hak kemanusiaan termasuk etnik minoriti rohingya.