ekonomi

Malaysia sasar di kedudukan 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2030

Malaysia menyasar meningkatkan ekonominya menjadi antara 30 ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun naik ke tangga ke-30 daripada kedudukan ke-37 dalam data Bank Dunia pada 2022 dengan menumpukan kepada penyerantauan dan daya saing yang lebih besar, mengutamakan kerumitan ekonomi dan meningkatkan rantaian nilai, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tumpuan utama adalah untuk menstruktur semula ekonomi bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia.

“Jika kita hanya berpuas hati dengan keadaan sekarang, ekonomi akan terus mencatat pertumbuhan antara 4 peratus.

“Namun, jika kita berusaha gigih dan melaksana pembaharuan, kita mampu mencapai 5.5 peratus, malah saya percaya adalah tidak mustahil untuk kita menghasilkan pertumbuhan 6 peratus,” katanya pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, negara perlu membentuk integrasi ekonomi yang lebih besar dengan negara jiran ketikai dunia sedang berdepan dengan kekangan rantaian bekalan.

Bagi merealisasikan sasaran itu, Malaysia perlu membentuk integrasi ekonomi yang lebih besar dengan negara jiran lebih-lebih lagi dunia sedang berdepan dengan kekangan rantaian bekalan.

“Maka, kita perlu melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing tinggi untuk menembusi pasaran rantau ASEAN,” kata Anwar.

Jelasnya, usaha sekarang perlu melangkaui perjanjian perdagangan bebas seperti melalui diplomasi perdagangan dan pengaturan strategik yang boleh mengembangkan integrasi pasaran bilateral dan multilateral serta memudahkan pergerakan barang, modal, modal insan dan perkongsian teknologi dengan negara jiran.

“Selama ini, kita tertumpu kepada aktiviti sektor utama seperti elektrikal dan elektronik (E&E) dan kimia secara keseluruhan. Melangkah ke depan, misi baharu perindustrian di bawah NIMP akan menumpukan aktiviti dengan nilai tambah tinggi atau kecanggihan ekonomi.

“Misalnya, kluster di Pulau Pinang perlu menumpukan kepada aktiviti E&E bernilai tinggi seperti Integrated Circuit (IC) design. Sektor kimia pula, perusahaan petrokimia serta oleokimia perlu memberi tumpuan kepada aktiviti pembuatan kimia khusus (specialty chemicals),” jelas Perdana Menteri lagi.

Selain itu, kerajaan juga akan memperkenalkan insentif cukai berasaskan pencapaian bagi mendukung dan memberi ganjaran kepada syarikat yang menumpukan aktiviti berdampak tinggi.

Related Articles

Back to top button