Nasional

KKDW, MOT bentang perincian agenda ekonomi MADANI minggu depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Malaysia akan kembali di kedudukan teratas rantau ASEAN dalam sudut ekonomi.

Harapan itu dinyatakan Ahmad Zahid kepada media sebagai mengulas peluncuran kerangka ekonomi itu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut memaklumkan, bagi pihak kementerian, beliau sendiri akan memperincikan pelaksanaan agenda Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, bagi KKDW, minggu depan.

“Saya sendiri akan membentangkan agenda terperinci KKDW pada Isnin, tentang bagaimana pelaksanaan yang diumumkan Perdana Menteri.

“Kita harapkan matlamat untuk memacu kedudukan Malaysia sebagai negara teratas di rantau ASEAN, dan juga untuk berada di kedudukan tinggi secara relatifnya dengan negara-negara (maju) di dunia,” katanya sambil menegaskan ia memerlukan kerjasama dan bantuan daripada seluruh Jemaah Menteri dan agensi berkaitan di seluruh negara.

Anwar ketika berucap pada peluncuran‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ semalam menjelaskan, ia merupakan rencana menyeluruh bagi Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan isu-isu berkaitan daya saing.

Melaluinya kerajaan menggariskan beberapa tindakan bagi menangani isu-isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Selain KKDW, difahamkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke turut akan membentangkan perancangan ekonomi MADANI bagi kementeriannya pada minggu depan.

Related Articles

Back to top button