Negeri

Mahdzir mahu Sanusi jelaskan isu elektrik di Kedah Rubber City

Menteri Besar sementara Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta tampil menjelaskan isu perbekalan elektrik ke projek Kedah Rubber City di Padang Sanai di Kuala Nerang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid mendakwa walaupun ada usaha dijalankan kerajaan negeri sebelum ini, namun isu tersebut masih tidak selesai dbawah pentadbiran Muhammad Sanusi.

Situasi itu jelasnya telah menimbulkan keresahan kepada para pelabur.

“Lebih elok kalau ada jadual negeri, penjadualan bila pengambilan tanah siap, bila garis masa dia, buatlah sedikit garis masa, masalahnya garis masa pun tiada.

Sampai hari ini saya nampak belum pasti bila nak masuk elektrik itu. Inilah antara benda (perkara) yang menjadi kerisauan,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Gerak Kerja Jentera Pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu dan DUN Kuala Nerang pada Khamis.

Mahdzir berkata bekalan elektrik di kawasan KRC perlu dihubungkan dari Tanjung Pauh, Jitra sejauh 42 kilometer kerana kawasan industri tersebut memerlukan penggunaan elektrik yang banyak.

KRC dibangunkan di kawasan seluas 503 hektar merupakan projek taman perindustrian getah berstatus nasional pertama di Malaysia yang diusahakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bersama kerajaan Kedah.

Related Articles

Back to top button