Semasa

PM Anwar serah unit pertama Starlink kepada UiTM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan unit pertama peranti satelit Starlink kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Peranti yang diserahkan kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Prof Dr Mohd Sazili Shahibi di reruai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sempena Karnival Segalanya Felda Peringkat Felda Wilayah Raja Alias di Dataran Seri Jempol malam tadi.

Turut hadir pada sesi berkenaan ialah Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

DIfahamkan peranti pertama itu akan digunakan UiTM kampus Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan menjadikannya institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama di negara ini yang akan mengguna pakai teknologi berkenaan.

Kerajaan baru-baru ini dilapor menyatakan hasrat memasang 40 peranti satelit Starlink di IPT bagi membantu menaik taraf capaian Internet lebih baik di kampus susulan aduan daripada pelajar hasil lawatan beliau ke beberapa buah universiti di seluruh negara.

Cadangan itu tercetus hasil persidangan video Perdana Menteri secara maya bersama Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk, 14 Julai lepas.

Sementara itu, Fahmi Fadzil ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata, peranti berkenaan merupakan langkah penyelesaian sementara sebelum satu penyelesaian jangka panjang dikemukakan.

Pihak kementerian akan mendapatkan maklum balas daripada UiTM bagi menilai keserasian dan kesesuaian pelaksanaan Starlink sebagai langkah penyelesaian interim.

“Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyerahkan unit pertama Starlink kepada UiTM Kuala Pilah sebagai bukti konsep usaha untuk menyelesaikan masalah Internet dihadapi pelajar-pelajar di dewan kuliah.

Pada masa yang sama saya difahamkan pihak UiTM juga sedang menunggu peruntukan untuk menyelesaikan masalah titik capaian wifi di sekitar kampus yang perlu dipasang penghala wifi. Ini mengambil masa jadi sementara waktu kita akan gunakan Starlink,“ katanya.

Selain itu, jelas Fahmi, beliau selepas ini akan berhubung dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi mengenal pasti kawasan yang memerlukan perkhidmatan Internet satelit bagi menyelesaikan masalah kesalinghubungan khususnya di kawasan pedalaman.

Related Articles

Back to top button