Program Jualan Agro Madani diperluaskan ke kem tentera seluruh negara – Mohamad
Kementerian Pertahanan (Mindef) berhasrat untuk memperluaskan Program Jualan Agro Madani ke kem-kem tentera di seluruh negara bagi membantu keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membeli barangan dengan harga yang rendah.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, buat masa ini perlaksanaan program berkenaan telah dilaksanakan pada Sabtu minggu lalu di Kem Si Rusa, Port Dickson yang sudah pun dijadikan program bulanan iaitu pada setiap Sabtu minggu ketiga.
Menurutnya, kali ini program dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berkenaan diteruskan di Kem Rasah dan seterusnya di Kem Syed Sirajuddin Gemas, Tampin.
“Program Jualan Agro Madani amat baik sekali. Enam ekor ikan selar RM5. Minyak masak satu paket RM2. Sayur satu bakul dan ayam seekor RM10.
“Program ini akan dapat membantu anggota keluarga tentera meringankan bebanan kos sara hidup yang tinggi. Inilah hasrat kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Program Jualan Agro Madani anjuran Fama dan Markas 1 Briged Infantri Malaysia di Kem Rasah, Seremban, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Fama, Abdul Rashid Bahri; Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Rashidin Hashimi Ab Rashid dan Panglima Markas Briged Pertama Infantri, Brigadier Jeneral Mohamad Noorlizam Shamsuddin.
Jelas Mohamad lagi, Program Jualan Agro Madani disasarkan sebanyak 5,000 program dilaksanakan di seluruh negara dan di Negeri Sembilan sahaja setakat ini sudah dilaksanakan lebih 100 program.
Menurutnya, beliau berharap agar program berkenaan akan diperbanyakkan di setiap kem tentera di negeri ini serta dijadikan acara bulanan.