Pilihanraya

Anwar iringi calon di kawasan panas Parlimen Gombak

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini hadir memberikan sokongan kepada tiga calon blok kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Hulu Kelang dan Gombak Setia.

Turut mengiringi Anwar selaku Pengerusi PH ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Mereka disertai kepemimpinan tinggi parti KEADILAN dan UMNO yang berarak bersama calon dan penyokong ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak.

Kerusi Sungai Tua ditandingi Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor, sementara Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli bersaing merebut kerusi Hulu Kelang dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dipertaruhkan di Gombak Setia.

Amirudin yang merupakan ADUN Sungai Tua selama tiga penggal bakal berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS.

Parlimen Gombak antara paling mendapat perhatian dalam PRN Selangor berikutan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan bertanding kerusi Hulu Kelang.

Mohamed Azmin yang memutuskan tidak mempertahankan kerusi Bukit Antarabangsa bakal bertembung dengan Juwairiya.

Kerusi bagi Gombak Setia juga menjadi perhatian kerana Megat Zulkarnain akan cuba merampas kerusi disandang Muhammad Hilman Idham menang atas tiket PH, tetapi meninggalkan KEADILAN menerusi Langkah Sheraton dan kemudian menyertai BERSATU.

Related Articles

Back to top button