Azmin letak syarat sebab takut debat – Rafizi
Rafizi Ramli menyifatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali cuba mengelak dari berdebat dengannya.
Ia susulan tindakan Mohamed Azmin meletak syarat sebelum berdebat dengannya.
Melalui satu hantaran di Twitter, Rafizi berkata, Ketua Penerangan PN itu sebenarnya bimbang rekod pencapaian semasa dia menjawat Menteri Kanan Hal Ehwal Ekonomi ditanya.
“Kesian. Dia (Mohamed Azmin) bimbang rekod dia semasa Menteri Ekonomi ditanya. Jadi untuk elak berdebat, dia bagi syarat turun harga minyak dahulu.
“Harga RON95 kalau tidak kerana formula yang saya kempen dulu, sekarang RM3.10. Tak apalah kita tunggu panglima PN yang sebenar – MB Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor),” tulisnya Rafizi.
Sebelum ini Rafizi dalam ceramah di Port Dickson, Negeri Sembilan mencabar Mohamed Azmin berdebat mengenai ekonomi Malaysia sekiranya pemimpin PN itu berani.
Susulan itu Astro Awani menyatakan minat menerbitkan debat tersebut dan Ketua Pengarangnya, Ashwad Ismail telah mengemukakan surat jemputan ‘Debat Ekonomi Malaysia’ kepada kedua-dua pihak.
Rafizi kemudian melalui Setiausaha Sulit Kanan menyatakan persetujuan untuk menerima pelawaan itu.
Mohamed Azmin walaupun dalam ceramah dihadapan penyokong PN menyatakan persetujuaan berdebat, namun berselindung dengan syarat Rafizi perlu terlebih dahulu membuktikan terlebih dahulu berjaya dalam pelaksanaan dan pemulihan ekonomi negara.
Bekas pemimpin KEADILAN yang dianggap antara dalang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui langkah Sheraton itu turut mengungkit janji untuk menurunkan harga minyak yang dikemuka 15 tahun dahulu iaitu ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.
“Pertama turunkan harga minyak terlebih dahulu. Bukan saya janji, kamu yang janji. Hari ini saya jadi Perdana Menteri, esok minyak turun….sudah turun belum? Kalau belum turun, turunkan dulu baru jumpa aku,” kata Mohamed Azmin di depan penyokongnya.