Pilihanraya

Disambut paluan gendang, Tok Mat berdepan saingan dua penjuru di DUN Rantau

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berdepan saingan dua penjuru di DUN Rantau.

Mohamad yang lebih mesra dipanggil Tok Mat tiba kepusat penamaan calon di Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Sendayan pada 9.08 pagi.

Beliau diiringi Presiden MCA, Wee Ka Siong, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Alexander Nanta Linggi dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sendayan, Yasin Abd Jamil yang mewakili Pakatan Harapan (PH)

Kehadiran mereka diiringi penyokong BN-PH dan dimeriahkan dengan paluan gendang memasuki pusat penamaan calon DUN Rantau.

Mohamad akan bersaing untuk merebut kerusi berkenaan dengan calon Perikatan Nasional (PN) Rozmal Malakan dari PAS.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau dan menteri pertahanan memenangi kerusi itu sejak 2004, baru-baru ini mengumumkan akan mempertahankan kerusi tersebut pada PRN kali ini.

Pada PRU14, beliau menang tanpa bertanding selepas bekas calon PH PRK DUN Rantau Dr S Streram dilarang masuk pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Mohamad diisytiharkan menang tanpa bertanding.

Namun, Streram yang ketika itu merupakan timbalan ketua cabang PKR Rembau memfailkan petisyen pada 23 Mei 2018 untuk membatalkan keputusan SPR.

Keputusan SPR itu dibatalkan mahkamah dan PRK Rantau diadakan pada 2019.

Bagaimanapun, Mohamad mengekalkan kerusi itu apabila memperoleh 10,397 undi berbanding 5,887 undi diraih Streram.

Related Articles

Back to top button