Semasa

Heboh cakap soal Islam, tapi tak berani beri amaran singkir penyakau – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran akan menyingkirkan mana-mana menteri atau pemimpin kerajaan daripada jawatan sekiranya dikesan mengambil sumber kekayaan negara untuk kepentingan peribadi.

Berucap pada Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Bandar Al Muktafi Billah Shah, di Dungun, Terengganu pada Jumaat, Anwar menegaskan beliau tidak akan membenarkan sebarang salah laku dalam Kerajaan Perpaduan.

“Hentikan amalan mengambil kekayaan daripada negeri atau negara, kerajaan ini tidak mengizinkan mana-mana menteri atau pemimpin kerajaan ambil walau satu inci tanah kerajaan atau satu ekar (0.4 hektar kawasan) balak.

“(Tindakan itu) dilarang sama sekali dan kalau berlaku, mereka akan disingkirkan daripada jawatan,” katanya sambil menyifatkan amalan seperti itu hanya akan merugikan negara.

Pada ucapan di majlis yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Ahmad Said itu juga mengkritik ‘kumpulan’ yang didakwa memperjuangkan Islam dan Melayu tetapi tidak bertindak tegas dalam isu pengambilan sumber kekayaan negeri atau negara.

“Saya hendak tanya (kepada) orang yang heboh bercakap soal Melayu dan Islam, beranikah sebut bahawa mereka tidak izinkan pemimpin mengambil balak, kontrak atau saham daripada negara.

“(Setakat ini) saya belum dengar lagi (ada yang berani bersuara),” katanya.

Related Articles

Back to top button