Pilihanraya

PM nyata hasrat mahu lihat kempen secara bersih

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat bagi melihat semua parti bertanding pada pilihan raya di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu agar berkempen secara berhemah.

Hasrat itu dinyatakan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika mengiringi calon-calon parti yang mewakili Kerajaan Perpaduan di beberapa pusat penamaan calon hari ini.

“Insya-Allah kita berkempen cara tersusun, sopan dan beradab,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu kepada pemberita.

Menyentuh mengenai proses pencalonan hari ini, beliau turut menyatakan rasa puas hati apabila proses berlangsung di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu itu berjalan baik.

“Alhamdulillah, proses semua baik, aman dan teratur, calon-calon juga mengemukakan semua (dokumen) diperlukan dengan baik,” katanya.

Terdahulu Anwar yang diiringi Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hadir memberi sokongan kepada calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan di kawasan Parlimen Ampang, Gombak dan Selayang melibatkan sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Abang Johari dan Hajiji yang sudi bersama-sama beliau hari ini bagi memberikan sokongan kepada calon-calon PH-BN yang bertanding.

PRN yang melibatkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) akan diadakan pada 12 Ogos bersekali dengan PRK Parlimen Kuala Terengganu.

Related Articles

Back to top button