Projek fleet: Polis digesa siasat Muhyiddin
Mahasiswa Keadilan Malaysia pada Jumaat membuat laporan polis supaya siasatan dibuat terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pemberian tender projek kerajaan bernilai RM4.6 bilion.
Ini susulan dakwaan Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya Tan Sri Vincent Tan berhubung penamatan surat hasrat (LOI) yang dianugerah kepada syarikat usaha sama (JV) Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza semasa Muhyiddin menerajui kerajaan.
“Kami menggesa polis untuk memulakan siasatan tentang perkara ini,” kata Naib Pengerusi Mahasiswa Keadilan Malaysia K.Yuveraaj di Balai Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur sebaik membuat laporan berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan Tan sebagai berkata LOI berkaitan kontrak bagi Projek Perbekalan, Pembaikan dan Penyelenggaraan Kenderaan Kerajaan (Projek Fleet) ditamatkan tiga bulan selepas Muhyiddin mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mac 2020.
Tan mendakwa perkhidmatan usaha sama itu ditamatkan serta diberikan kepada Spanco Sdn Bhd dengan perbelanjaan lebih tinggi berbanding bidaan JV Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza.
Susulan itu pada 17 Julai lepas, syarikat usaha sama Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza telah memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan kerana menamatkan LOI yang ditawarkan.