ekonomi

KJ puji kerangka Ekonomi Madani dibentang PM Anwar

Kerangka Ekonomi Madani dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu mendapat pujian dari bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar

Khairy menerusi siaran podcast Keluar Sekejap pada Sabtu berkata, langkah dibuat Anwar itu memberi gambaran visi ekonomi lebih jelas yang dinantikan oleh rakyat.

Selain itu jelasnya, dua pergerakan besar dalam ekonomi yang telah digariskan iaitu menaikkan siling dan lantai juga perkara yang wajar dipuji.

“Perdana Menteri telah melukiskan gambar ataupun lukisan yang jelas, kita berada di mana, kekurangan pertumbuhan enjin yang baharu, jurang yang besar antara pendapatan isi rumah dan pertumbuhan ekonomi dalam Malaysia terjerumus dalam kitaran kemelesetan dengan gaji rendah dan kurang berdaya saing.

“Beliau bukan hanya datang dengan masalah tapi dengan penyelesaian, saya suka ini. Apa yang saya suka beliau telah menggariskan dua pergerakan besar dalam ekonomi kita, menaikkan siling dan menaikkan lantai,” katanya.

Khairy menambah, dengan menaikkan siling, Malaysia mampu terbang jauh menjadi peneraju ekonomi serantau Asia, dunia, destinasi pelaburan serta industri berteraskan digital.

“Maksudnya beliau tak halang ekonomi berteraskan modal ini terbang tetapi pada masa yang sama falsafah ekonomi Perdana Menteri jelas dia tak mahu siling itu terbang saja.

“Dalam orde ekonomi liberal siling saja terbang tapi lantai tak naik, lantai tetap di paras yang sama atau lagi teruk lantai itu jatuh.

“Syarikat kita jadi gergasi dunia, pelaburan besar datang ke Malaysia, tak guna kalau siling terbang kalau lantai tak naik maksudnya peningkatan hidup rakyat, ada kejelasan sekarang,” katanya dipetik laporan BH Online.

Related Articles

Back to top button